Monday, April 11, 2011

Kekalahan Tidak Harus Patahkan Semangat


Kuala Lumpur, 7 Mac 2011 - Kekalahan dalam  4 pilihanraya kecil terakhir yang ditandingi PAS iaitu Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau tidak seharusnya mematahkan semangat ahli dan pendokongnya. Umum mengetahui bahawa pilihanraya yang dijalankan di atas ‘padang yang tidak sama rata’ sememangnya amat menyukarkan PAS dan Pakatan Rakyat untuk mencapai kemenangan.
Hujjah UMNO dan Barisan Nasional bahawa pilihanraya di Malaysia adalah adil kerana Pakatan Rakyat juga turut menang dalam pilihanraya sebelum ini adalah terlalu dangkal dan tidak dapat diterima. Kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya tidak bermakna ia adil kerana UMNO dan Barisan Nasional tidak boleh menafikan bahawa mereka  telah menggunakan sewenang-wenangnya agensi kerajaan dan media arus perdana untuk kepentingan kempen mereka tanpa memberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk mendapat hak yang sama. Walaupun Pakatan Rakyat menang dalam pilihanraya, ia menunjukkan bahawa Pakatan  Rakyat  berjaya menyusun strategi yang berkesan sehingga dapat memenangi pilihanraya tersebut  meskipun ia tidak adil dan berjalan di atas ‘padang  yang tidak sama rata’.  Ibarat perlawanan bola sepak, gol tetap dapat dihasilkan walaupun padang bola tidak sama rata dan pengadil berat sebelah. Kemenangan tersebut tidak sama sekali boleh menghalalkan ketidak adilan. Keadilan tidak boleh diukur melalui menang atau kalahnya sesuatu parti dalam pilihanraya tetapi mesti diukur dari sudut hak sama ada ia diberikan sama rata kepada semua parti yang bertanding atau tidak.
Walaupun ‘padang  yang tidak sama rata’,  PAS tidak mempunyai  pilihan yang lain setakat ini selain daripada tetap meneruskan perjuangan melalui medium pilihanraya untuk mencapai cita-cita perjuangan. Keyakinan bahawa Pakatan Rakyat tetap boleh mampu memenangi pilihanraya walaupun dalam keadaan demikian seharusnya tersemat dalam jiwa sanubari ahli dan pendokong PAS kerana ia telah terbukti sebelum ini dan dijanjikan oleh Allah s.w.t.
Kekalahan  PAS dalam pilihanraya seharusnya mengingatkan kita kepada perjuangan Rasulullah s.a.w. yang keluar berdakwah ke Thoif bersama-sama dengan Zaid bin Harithah. Baginda dilayan dengan buruk oleh Bani Thaqif sehingga berdarah tubuh baginda dilontar batu oleh mereka. Walaupun demikian, baginda tidak berputus asa bahkan apabila ditanya oleh Zaid bin Harithah bagaimana Rasulullah akan masuk semula ke kota Mekah, baginda menjawab: “Wahai Zaid, sesungguhnya Allah pasti menjadikan apa yang dilalui ini jalan keluar dan penyelesaiannya. Sesungguhnya Allah pasti akan memenangkan agamanya dan menolong Nabinya.”
Ketika baginda ditawarkan untuk diturunkan bala oleh Malaikat ke atas penduduk Thoif dengan dihempapkan bukit ke atas mereka, baginda menolaknya kerana mengharapkan agar keturunan yang bakal lahir daripada tulang sulbi mereka akan menerima dakwah baginda di kemudian hari.
Begitulah keyakinan yang ada pada Nabi tentang kemenangan yang dijanjikan oleh Allah yang seharusnya dicontohi oleh pendokong dan pejuang Islam. Kekalahan tidak seharusnya membawa kepada kekecewaan yang  menyekat perjalanan tetapi sepatutnya menambahkan semangat untuk meneruskan perjuangan dengan memenuhi syarat-syarat kemenangan yang dijanjikan oleh Allah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...