Monday, April 11, 2011

Kenyataan rasmi: Isu Video Seks Yang Disebarkan Oleh Datuk ‘T’


Kuala Lumpur, 29 Mac 2011 - Beberapa hari ini, tersebar berita tentang video seks yang dituduh dilakukan oleh pemimpin utama parti pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Tuduhan yang dibuat ini pastinya menghangatkan lagi pentas politik Malaysia apabila beliau sebelum ini dituduh beberapa kali melakukan kesalahan yang sama apatah sekarang ini beliau sedang menghadapi perbicaraan kes liwat di mahkamah.
Dalam isu ini, terdapat tiga perkara utama yang perlu diberikan perhatian iaitu tuduhan berzina, melakukan penzinaan dan menyebarkan berita penzinaan. Islam mengambil berat tentang isu-isu seumpama ini kerana antara perkara yang dijaga oleh Islam ialah maruah dan keturunan. Oleh kerana itu, tuduhan berzina dan melakukan penzinaan diletakkan dibawah hukuman Hudud yang membawa kepada hukuman yang sangat berat. Orang yang menuduh orang lain berzina tanpa membawa 4 orang saksi adalah melakukan kesalahan qazaf dan boleh dijatuhkan hukuman 80 kali sebatan. Orang yang berzina yang telah berkahwin jika disabitkan kesalahan dijatuhkan hukuman rejam dengan batu sehingga mati. Adapun yang belum berkahwin, hukumannya adalah 100 kali sebatan.
Penyebaran berita tentang penzinaan juga adalah satu kesalahan dalam Islam. Jika berlaku tuduhan dan kemudiannya disebarkan tuduhan tersebut kepada masyarakat yang masih belum terbukti kebenarannya akan menambahkan lagi kerosakan dan menjatuhkan maruah orang lain di mata masyarakat. Jika penzinaan itu benar-benar berlaku sekalipun, ia tidak boleh disebarkan kerana ia membuka rahsia yang disuruh oleh Allah agar disimpan. Apatah lagi jika penzinaan itu tidak berlaku dan ia hanyalah tuduhan semata-mata maka ia adalah suatu fitnah yang disebarkan.
Penyebaran video seks dengan dipertontonkan kepada para wartawan dan pemimpin masyarakat sebagaimana yang berlaku dalam isu ini jelas sekali bercanggah dengan Islam yang belum tentu lagi kebenarannya. Apa yang jelas, tindakan yang dilakukan ini hanyalah untuk menjatuhkan maruah dan memusnahkan karier politik orang yang dituduh.
Justeru, Lajnah Keahlian dan Ulama Pelapis, DUPP menyeru agar pihak kerajaan mendakwa orang orang yang menyebarkan video seks tersebut di mahkamah dan hendaklah dihukum jika disabitkan kesalahan walaupun mungkin tuduhan itu benar-benar berlaku sebagai suatu pengajaran kepada orang lain. Jika tuduhan itu tidak benar dan tidak menepati syarat-syarat  tuduhan zina maka hukuman seharusnya ditambah ke atas penuduh kerana melakukan kesalahan qazaf dan menyebarkan keaiban.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...