Sunday, May 1, 2011

Graduan Malaysia : Matlamat dan Arah Tuju


Oleh : Nurkhamimi Zainuddin (Penulis Luar)
Majalah Cahaya Keluaran April 2010
 
Menjelang suku pertama tahun 2010, dianggarkan sejumlah lebih 250 ribu graduan dapat dilahirkan sama ada dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ataupun Institusi Pengajian Tinggi Awam Swasta (IPTS). Mereka hadir di persada masyarakat sebagai golongan ilmuwan dan cendekiawan yang akan membantu mencorakkan kehidupan bermasyarakat dan bernegara di bumi Malaysia ini. Kelahiran mereka sebagai ilmuwan masyarakat penting sebagai penjana kegemilangan Malaysia dalam negara berbilang kaum dan bangsa selaras dengan harapan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk memastikan agar graduan dapat mengimbangi antara matlamat diri, tanggungjawab dan amanah keluarga. Sekalipun graduan berdepan dengan hal-hal sampingan, namun ia bukan menjadi hambatan halangan untuk mereka menghulurkan peranan dan tanggungjawab secara kolektif. Justeru sebagai "national-asset" yang dilahirkan sebagai ilmuwan dan cendekiawan masyarakat, golongan mahasiswa yang rata-ratanya dibarisi oleh generasi belia remaja haruslah cekap dalam memahami keadaan persekitaran, terutama sekali dalam memenuhi kehendak komuniti sekeliling. Perkara ini harus diterapkan lebih awal semasa mereka masih di bangku kuliyah lagi. Para cendekiawan dan ulama-ulama besar menggambarkan zaman remaja sebagai "zaman emas" yang paling berharga sebelum hadirnya zaman ketuaan. Maka zaman ini tidak boleh dipersiakan selari dengan Firman Allah yang bermaksud :
 
“ Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.“(ar-Rum :54).
Graduan yang mempunyai fikiran yang matang serta daya pemikiran yang jitu juga mampu melaksanakan satu tranformasi kepada negara demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia. Mereka juga akan mampu meletakkan satu matlamat besar dan berusaha untuk mencapainya dengan penuh keberanian.
 
MATLAMAT JELAS
Golongan graduan juga sedia maklum bahawa matlamat yang diletakkan selepas menamatkan pengajian mestilah jelas dan berupaya membuka ruang untuk mencapainya dengan penuh kejayaan. Matlamat perlu konkrit dan bersepadu dengan kehendak dan perancangan diri. Ini penting bagi mewujudkan keyakinan yang tinggi dan kekukuhan iltizam. Ianya juga merupakan tunjang pendorong agar kita tidak mengenal erti putus asa, kecewa dan malas berusaha. Tambahan pula, graduan yang dilahirkan ini mempunyai daya pemikiran kreatif dan kepakaran dalam diri yang membantu untuk menjadikan mereka sebagai pelaburan masyarakat. Mereka juga mesti mampu mencapai suatu kelainan yang terhasil daripada perolehan ilmu yang dituntut di menara gading dahulu supaya menjadi modal ke arah perjalanan dan juga pengalaman kehidupan untuk membina masyarakat yang mampu membina kemajuan dan kecemerlangan.
Kita lihat sahaja terlalu ramai orang yang sudah berjaya, terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan sebelum mencapai kejayaan yang konkrit. Wawasan mereka besar serta semangat berani untuk menceburi bidang perniagaan misalnya tidak pernah mengundang kemampuan mereka untuk berundur. Mereka terus melangkah meskipun di hadapan mereka terhalang oleh gunung-gunung ranjau yang rumit untuk didaki. Tujuan mereka juga tidak berubah sebelum suatu kejayaan terhampar di hadapan mereka. Namun untuk mencapai kejayaan tersebut, keberanian dan modal diiringi dengan kemahiran dan pendidikan yang cukup mempunyai peranan yang cukup agung untuk mencapai sebuah matlamat yang berwawasan. Mereka tidak pernah berputus asa malahan sentiasa berdoa meskipun mereka menerima lemparan kata-kata negatif yang boleh sahaja menjadi penghalang usaha mereka. Pada masa yang sama, ramai orang lain yang membuat usaha yang sama, tetapi kebanyakan mereka menghadapi kegagalan kerana mengabaikan amalan berdoa yang sebenarnya merupakan salah satu ibadah yang dimuliakan Allah. Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah dibandingkan dengan doa”. (Riwayat Tirmidzi)
Kerana itu apabila mahasiswa melihat keadaan dan pergolakan yang berlaku di sekeliling mereka, matlamat yang besar ini akan menjadi satu platform untuk mengatasi serta mengimbanginya. Mahasiswa juga harus memperjuangkan agenda yang ingin dicapai bagi memenuhi keperluan hidup dan dalam memenuhi tuntutan masyarakat setempat.
TAHU KEMAMPUAN DIRI
Adalah elok kalau graduan yang terhasil sentiasa membiasakan diri untuk menjadikan pencapaian gemilang orang lain sebagai asas dalam menentukan matlamat yang ingin kita tuju tercapai. Dari sini kita boleh menyukat sejauh mana kita mampu untuk mencapainya dengan baik seperti yang boleh kita hayati dari kata hikmah Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz di zaman pemerintahannya yang berbunyi:
 
“Bekerjalah untuk dunia mengikut tahap kemampuan kalian dan beramallah untuk akhirat mengikut tahap kemampuan kalian juga.”
 
Kemampuan kita dalam merancang dan menentukan hala tuju diri akan dapat memberikan kemudahan dalam menjalankan program pembinaan diri dengan lebih teratur. Ada yang akan dapat dirasakan jika kita mampu mencapai dengan jayanya. Perubahan diri akan berlaku, cara berfikir yang lebih dewasa akan lebih menyerlah, strategi berkerja akan lebih kemas, keterampilan diri akan lebih kukuh dan berwibawa, dan banyak lagi yang serba memungkinkan untuk menjadikan kita orang berjaya. Namun berapa banyakkah di kalangan kita yang bersedia dan mampu mewujudkan perancangan diri yang lebih kemas dan teratur? Berapa banyakkah pula para graduan yang mampu untuk mewujudkan matlamat diri yang ingin dicapai? Semua persoalan-persoalan sedemikian hanya akan dapat dijawab oleh golongan mahasiswa itu sendiri kerana kita yang sebenarnya menjadi punca dalam semua perancangan yang ingin kita wujudkan. Sama ada berjaya atau sebaliknya, bergantung pula kepada bagaimana ia dirancang utuk menjadi realiti kehidupan. Impaknya ialah ada kewajaran yang memerlukan kita untuk bersedia menghadapi kehidupan ini dengan meletakkan matlamat kehidupan di hadapan kita agar apa-apa yang akan kita lalui dapat ditunjangi dengan jayanya.
 
MULAKAN LANGKAH
 
Hari ini, golongan mahasiswa merupakan aset paling berharga buat mana-mana negara di dunia. Generasi muda sekarang akan membentuk barisan kepimpinan yang akan menerajui negara pada masa akan datang. Oleh itu, jatuh bangunnya sesebuah negara bergantung sepenuhnya kepada generasi muda yang dimiliki oleh negara tersebut. Negara kita Malaysia juga tidak terlepas daripada memenuhi keperluan ini. Jika kita tidak mula membentuk generasi muda kita dari sekarang dengan kualiti yang terbaik, sudah tentu negara pada masa akan datang berada dalam keadaan yang tidak stabil dan kritikal kerana kualiti kepimpinan yang ada pada generasi muda hari ini belum dapat memenuhi tuntutan masa hadapan.
Maka sekarang adalah masanya untuk para graduan yang baru menamatkan pengajian mereka di menara gading untuk mengorak langkah ke arah yang lebih bermakna dan dihormati. Demi untuk kejayaan diri dan kemakmuran masyarakat, biarkan pembaharuan dan kelainan yang positif mampu terjana melalui perolehan ilmu yang sekian lama digali dari menara gading yang telah diduduki dan dijelajahi untuk sekian lamanya. Kini telah tiba masanya untuk mempergunakannya. Ingatlah kalau kita tidak mampu untuk menjadi lautan, jadilah anak-anak sungai yang boleh direntasi orang ramai. Kalau kita tidak mampu menjadi lebuh raya yang luas dan menarik, maka jadilah jalan-jalan kecil atau lorong-lorong yang selamat dilalui. Biar kita menjadi generasi contoh yang akan mewariskan kegemilangan dan keberkatan ilmu pengetahuan yang dituntut. Mahasiswa juga diseru agar tidak hanya mengehadkan kebolehan dan keupayaan dalam ilmu tertentu sahaja. Sebaliknya, berusahalah mempelajari dan menguasai pelbagai cabang ilmu sebagai jaminan untuk menjadi modal insan yang berkualiti yang akan meneruskan tradisi kecemerlangan negara kita di persada antarabangsa.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...