Monday, May 2, 2011

Saringan HIV/Aids Bantu Jaga Kesucian Keturunan Manusia

Saringan HIV/Aids Bantu Jaga Kesucian Keturunan Manusia

Beberapa jabatan agama negeri wajib ujian sejak 2001
Oleh Ustaz Ghafani Awang Teh
SINDROM Kurang Daya Tahan Penyakit (Aids) adalah gejala pelbagai penyakit kronik menimpa manusia disebabkan sejenis virus yang disebut HIV (Human Immonodefienc Virus). Virus ini secara perlahan-lahan mereputkan sistem kekebalan tubuh dan dalam tempoh lima hingga 10 tahun penghidapnya mengalami pelbagai gejala penyakit menyebabkan maut.
Setakat ini tidak ditemui ubat yang boleh mencegah atau merawat HIV/Aids. Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hingga 2007 seramai 33 juta manusia sudah dijangkiti HIV/Aids, 30.8 juta adalah golongan dewasa, 15.5 juta wanita dan kanak-kanak (2 juta).
Menurut WHO lagi, sejak 1981 hingga 2007 seramai 25 juta penghidap Aids meninggal dunia. Benua yang teruk mengalami wabak HIV/Aids ialah Afrika di mana kira-kira 11.6 juta kanak-kanak mengidap HIV/Aids dan yatim.
Bagi kedudukan di negara kita pula, berdasarkan sumber Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sehingga 2007 seramai 80,938 orang menghidap HIV, 13,635 penghidap Aids dan 11,539 penghidap Aids meninggal dunia. Pada masa ini kira-kira lima penghidap Aids meninggal dunia setiap sehari.
Apa yang paling membimbangkan, berdasarkan penemuan kajian oleh KKM pada 2007, 72 peratus penghidap HIV/Aids terdiri daripada orang Islam. Penghidap wanita menunjukkan peningkatan ketara iaitu daripada 1.1 peratus meningkat kepada 16.3 peratus (2007).
Pada awalnya kes HIV/Aids banyak ditemui di kalangan golongan homoseksual, tetapi sekarang virus itu banyak dikesan di kalangan mereka yang mengamalkan seks bebas, pelacuran dan perkongsian jarum oleh penagih dadah.
Kajian KKM itu juga mendapati penyebaran HIV/Aids melalui perkongsian jarum suntikan paling tinggi iaitu 57.3 peratus, hubungan seks (32.9 peratus) dan selebihnya melalui kelahiran, pemindahan darah yang tercemar dan lain-lain.
Bagaimanapun, menurut KKM lagi penyebaran HIV/Aids melalui perhubungan seksual sedang meningkat naik iaitu daripada 5.2 peratus (1990) kepada 32.9 peratus pada 2007. Persoalan besar timbul ialah apakah pencegahan sesuai diambil dalam mencegah dan merawat gejala HIV/Aids?
KKM daripada aspek kepakaran perubatan sudah mengambil beberapa langkah untuk mencegah dan merawat HIV/Aids. Antara pendekatan diambil ialah mengedar kondom,membahagikan jarum dan memberi methadon kepada pembawa HIV/Aids dan penagih dadah.
Pendekatan yang diambil KKM menimbulkan kontroversi di kalangan ulama dan masyarakat. Bagaimanapun, ulama bersetuju jika pendekatan diambil KKM itu dibuat kepada penagih dadah dan penghidap HIV/Aids tegar.
Pada sidang media sempena Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Bagi HIV/Aids, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan, Ujian Saringan HIV/Aids akan diwajibkan kepada semua pasangan Islam yang hendak berkahwin tahun ini.
Arahan itu mendapat ulasan pelbagai pihak. Berdasarkan analisis ulasan itu, sebahagian besarnya memberi pandangan positif. Perbezaan hanya dari segi tahap positif, sama ada memadai dengan sukarela atau bersetuju diwajibkan. Pihak yang menentang ujian saringan beralasan ia bercanggah dengan hak asasi manusia.
Isu HIV/Aids bukan hanya persoalan kesihatan atau kedoktoran semata-mata tetapi berkait rapat dengan isu keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Mereka yang hendak berkahwin adalah dalam rangka membentuk keluarga bahagia dan mewujudkan generasi berkualiti.
Bagaimanapun persoalan besar timbul ialah mengapa Ujian Saringan HIV/Aids ini diwajibkan dan bukan sukarela? Ujian saringan dibuat secara mandatori kerana:
Virus HIV/Aids amat menakutkan berbanding penyakit lain dan menyerang dunia secara perlahan-lahan melemah, mengaibkan keluarga dan menghapuskan nasab manusia;
Memenuhi tuntutan Maqasid Syariah, salah satunya ialah menjaga kesucian nasab bagi mewujudkan generasi yang sihat;
Mencegah kemudaratan yang ada pada individu dan mengelakkan kemudaratan kepada orang lain;
Menutup punca kemudaratan (Saddu az-Zaraai) supaya tidak mendatangkan kemudaratan lebih besar kepada manusia; sebagai kempen kesedaran penjagaan kesihatan. mencegah lebih baik daripada mengubati.
Keputusan resolusi seminar yang dibuat untuk mencegah virus HIV/Aids.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor adalah perintis pertama pada tahun 2001 apabila mewajibkan pasangan yang hendak berkahwin menjalani ujian saringan HIV/Aids. Selepas mendapat sambutan hebat dan kepuasan daripada ibu bapa, orang alim, imam, pemimpin masyarakat dan bakal pengantin sendiri, maka beberapa negeri lain mengikut jejak Johor.
Melaka, Perlis dan Selangor mula mewajibkan pada 2005 dan diikuti beberapa negeri lain. Ini bermakna ujian mandatori bukan dibuat secara membuta tuli atau tangkap muat tetapi dibuat secara berperingkat dengan mengambil kira analisis persekitaran dan kesan positif ujian saringan itu.
Pada 2007 contohnya, seramai 144, 267 orang menjalani ujian saringan HIV/Aids. Daripada jumlah itu, 90 kes atau 0.04 peratus positif HIV/Aids dan 12 kes meneruskan perkahwinan. Sekurang-kurangnya ujian itu memberi peringatan dan amaran awal mengenai kesejahteraan rumah tangga mereka.
Ujian saringan dibuat di hospital atau Pusat Kesihatan Kerajaan dan diurus mengikut piawaian perubatan. Pada ketika ini KKM memberi kerjasama dan sokongan kuat pendekatan yang diambil Jabatan Agama Islam ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) menyedari bahawa langkah mandatori itu bukanlah menjamin secara mutlak keberkesanan pencegahan HIV/Aids.
Tetapi ia sebenarnya sebagai sebahagian langkah menyokong pendekatan bersepadu lain yang diambil KKM, Majlis Aids Malaysia, individu dan lain-lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam pencegahan HIV/Aids.
Usaha juga sedang dibuat memberi latihan kepada imam dan pemimpin agama bagi membantu mengurangi stigma di kalangan masyarakat serta membimbing pembawa HIV/Aids kembali ke pangkal jalan.
Dalam usaha menjalankan pencegahan perkara mungkar ingatlah peringatan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: Dan hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan janganlah kamu bertolong-tolong pada melakukan maksiat. (Surah al-Maaidah, ayat 2).

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...